Wednesday, December 26, 2012

kenapa minat kpop??

Assalamualaikum wbt.

Kita sekarang berada di penghujung tahun 2012; dan seperti kebanyakan orang, saya ingin membuat satu recap tentang tahun yang sering "difitnah" ini.. hee

Bagi kebanyakan peminat tegar kpop, mereka mungkin berpendapat bahawa tahun ini merupakan tahun yang paling gembira bagi mereka. Mana tidaknya, ledakan misil-misil kpop telah meluru masuk dalam benak mereka, ditambah pula dengan kejayaan artis kpop yang tak berapa nak sedap suaranya, tidak lain dan tidak bukan abe Psy dengan lagunya tak perlulah saya tuliskan di sini.   

Antara banyak-banyak benda yang paling rumit dan paling remeh dalam dunia ni, perkara yang paling saya tidak faham ialah kpop. Saya tidak faham dan nngak mengerti and don't understand at all. Kenapa minat kpop?

dah3! Jangan tengok lama2!. Nanti bute mate!

klik gambar untuk ke laman web...

Apa yang ada pada kpop yang tidak ada pada hiburan lain? Pada saya sama je. Yang membezakan antara hiburan lain dengan kpop cuma bahasa yang dinyanyikan.. kualitinya lebih kurang sama je. Macam artis kita jugak. Ada yang teruk, dan ada yang teruk sikit, tak kurang juga yang bagus. Cuma beza antara yang bagus dengan yang teruk tu bagai  langit dengan bumi.. 

Nak dijadikan cerita, ramai jugak di kalangan sahabat-sahabat saya meminati kpop. Sama-sama terkena. Macam mana saya tak suka kpop, macam tu jugak lah mereka tak suka dengan genre musik saya. Tapi, saya anggap itu sebagai lumrah kehidupan. Tak seronok lah kalau hidup ni asyik senyum je, sampai naik lenguh pipi. Sekali sekala nak jugak marah-marah, naik hangin, naik minyak, naik moto.. (oops)

Sedangkan lidah lagi tergigit; sedangkan jarum lagi tercucuk, sedangkan... apa-apa je lah.

So, biarlah adik-beradik kita nak berlenggok Inul ke, kawan-kawan kita nak tergolek gelantang tengok siri Running Human ke, atau kita sendiri nak menangis selak dengar lagu Spoon ke.. asalkan semuanya dalam keadaan bersederhana. 

Dan ingatlah, jangan tinggalkan hiburan yang paling utama iaitu solat. wallahu 'alam. 

kematian

Assalamualaikum wbt...

Satu perkara yang sering saya terfikir kalau mata saya ni degil nak lelap, (macam sekarang ni) adalah berfikir tentang kematian. 

Saya sering tertanya-tanya. Apakah yang akan berlaku keesokkan hari seandainya saya telah kembali ke rahmatullah?  

Apa perkara pertama yang akan roomates saya buat? Bagaimana reaksi mereka? Siapa yang akan mereka hubungi dahulu? ... macam-macam.

Dan dalam banyak-banyak hal, saya sering terfikir. Macam mana mereka akan turunkan saya? Sebab selama 4 sem saya menetap di Seri Iskandar, rezeki saya hanya di katil atas. Mungkin mereka ada caranya. Ya lah. Dalam keadaan yang terdesak, manusia boleh melakukan hampir apa sahaja. Tengok lah satu kes dalam metro dulu. Di mana seorang ibu boleh membengkokkan palang tingkap untuk menyelamatkan anaknya. Ingat lagi tak? :) Saya cuma boleh harap mereka tidak panik dan membiarkan saya lama-lama. 

Dalam bab nak mandikan saya pulak... entah. Saya bukanlah seorang yang cerewet. Entah. Tapi saya cuma harap kawan-kawan saya tak kisah dan redho dengan pemergian saya, begitu jugak dengan family saya.

Tapi ini KALAU ajal saya sampai semasa saya di Seri Iskandar. Kalau lain, lain la pulak ceritanya.. Tapi kan. Jika ditakdirkan untuk saya mendirikan rumahtangga, kalau boleh saya nak saya yang pergi dulu sebelum suami saya. Sebab, kalau saya meninggal dulu, dia boleh ada pilihan untuk bernikah lagi. Satu pilihan yang susah untuk saya lakukan kalau saya ada dalam situasi macam tu... Bukan selfish, tetapi demokrasi terpimpin. :D

Baiklah. Balik kepada topik asal.. 

Kematian ni tak mengenal usia. Sesiapa sahaja, bila sudah sampai janji-Nya, akan segera dicabut nyawanya tanpa dilengahkan walau sesaat pun. Dan kematian juga boleh mendatangi kita dalam dua bentuk; iaitu dalam keadaan husnul khatimah ataupun suul khatimah. Moga kita tergolong dalam golongan yang pertama insyaallah.

Mungkin ramai yang berpendapat. Ramai manusia yang meninggal saban hari. Kat Somalia tu hampir beribu manusia mati akibat kebuluran. Ianya perkara biasa. Ya. Perkara biasa itu lah yang akan "meracuni" pemikiran kita sehingga ianya dianggap ringan. Pada saya, kematian bukanlah perkara ringan. Ianya satu... ia sebenarnya dapat memberi keinsafan terhadap diri kita.

Kehilangan seseorang terutama yang terdekat dan yang paling rapat dengan kita amatlah menyakitkan. Tetapi kita juga perlu ingat yang mati itu pasti dan kita tidak boleh menolaknya. Kita mestilah bersikap redho dengan pemergian mereka. Hanya doa yang dapat kita kirimkan kepada mereka..

Jangan bersedih. Insyaallah kita semua pasti akan dapat berkumpul bersama suatu hari nanti di syurga kelak. Bukankah itu sesuatu yang indah? Cuba kita fikir. Sekurang-kurangnya mereka yang telah kembali ke rahmatullah tidak perlu lagi menghadapi kekejaman dan ketidak adilan dunia ini.. dan hanya amalan mereka yang menemani mereka di alam barzakh.

...

Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah. Bersedialah. Saya bukanlah ahli ibadat atau ahli agama bahkan bukan seorang penceramah sekalipun. Saya di sini hanya untuk menulis, dan mengingatkan dan berpesan-pesan. wallahu 'alam. Segala kesalahan haraplah ditegur. 


sumber gambar: photobucket

Saturday, December 01, 2012

tepung

Assalamualaikum wbt....

Perempuan hari ini sangat ramai. Kiri kanan penuh dengan perempuan. Dan disebabkan oleh bilangan mereka yang ramai dan banyak membuatkan kepala semakin hari semakin sakit. Sakit memikirkan perangai mereka yang semakin lama semakin memeningkan kepala.

Walaupun bukan semua perempuan sama; dan bukan semua perempuan sifatnya adalah memeningkan kepala dan otak lelaki, ada juga segelintir yang bertindak sebagai penyejuk perut dan bidadari dunia. Malangnya, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Disebabkan segelintir perempuan yang bertindak "di luar norma kehidupan perempuan normal" membuatkan dunia menjadi serba serbi kucar kacir.

Umum mengetahui. Salah satu diantara beribu sifat perempuan yang rumit dan complex ialah mahukan kecantikan. Pun begitu, kebanyakan mereka hanya menitik beratkan kecantikan luaran berbanding kecantikan dalaman. Bukan apa. Kalau muka ditempel sekilo tepung gomak sekalipun, tapi kalau mempunyai seketul hati yang busuk dan hitam, tak guna pun walau satu sen. 

Selain itu, disebabkan sifat ini juga, membuatkan mereka mahu dipuji pula dengan kecantikan atau kecomelan yang mereka miliki. Habis segala mak ayah gambar, kecil dan besar akan dipapar di Internet untuk mendapatkan sekuman "pujian". Keseronokan mendapat like membuatkan mereka berasa ghairah untuk meng-upload lagi dan lagi. Mereka juga akan berfikir siang dan malam bagaimana untuk mempelbagaikan pose mereka. 

Selain daripada menjadi "model separuh masa", perempuan zaman sekarang juga gemar membotakkan kepala. Tetapi bukanlah kepala mereka yang dibotakkan tetapi kepala lelaki-lelaki yang bergelar ayah dan/atau suami. Kerja mereka siang dan malam tidak lain dan tidak bukan menghabiskan duit untuk membeli tepung untuk mencantikkan muka untuk dihebohkan seluruh kampung. 

Cantik bukan? Kecantikan perempuan bukan hanya terletak pada definisi kecantikan yang umum tetapi juga strategi yang cantik yang diguna pakai untuk melaksanakan impian mereka. Iaitu mendapat pujian. Setinggi mana ikhlasnya pujian itu hanya Allah yang tahu; sebaik mana manusia terutama lelaki-lelaki  yang menatap gambar "cantik" mereka hanya Allah yang tahu.

 Tapi yang saya tahu, amat berbeza sekali perangai dan sifat perempuan yang mahu cantik untuk dunia dan perempuan yang mahu cantik untuk akhirat. Wallahu'alam.

Det. A : Beli tepung buat cucur bawang.

Wednesday, November 14, 2012

esok tahun baru hijrah

Assalamualaikum wbt.

Esok tahun baru hijrah. Seperti biasa, tahun baru merupakan masa untuk manusia membuat resolusi atau azam tahun baru masing-masing.



Yang miskin berazam nak jadi kaya raya, yang gemuk nak jadi kurus, yang pendiam nak jadi mulut murai (ada ke?). Semuanya positif. Jarang kita dengar pada tahun baru orang berazam nak jadi miskin dari tahun sebelumnya, kecuali orang yang berjudi atau kaki nombor. Tikam la banyak mana pun, pergi la ke pelusuk kubur mana pun, takkan dapat dirasa punya duit haram tu.

Tahun baru juga, menjadi kegilaan buat anak muda untuk berpesta. Tapi itu kalau cakap pasal tahun baru masihi. Tak pernah pula dengar anak-anak muda nak "berpesta ibadah" pada tahun baru hijrah... pelik tapi benar.

Inilah yang membezakan Maal Hijrah dengan tahun baru cina. Terutamanya di Malaysia.

Bila tahun baru cina, semua orang berpusu-pusu nak sambut. Segala bangsa. Habis segala mak ayah limau mandirin tu ditelan, kecik besar, oren hijau semua dikebas, sampai cirit perut dibuatnya. Tapi bila tiba Maal Hijrah, (setahu saya) tak pernah pula kita buat open house ajak kawan-kawan kita yang matanya sepet dan bulat untuk memeriahkan Maal Hijrah.

Tengok sajalah Diwali semalam. Cukup meriah. Agak-agak, esok situasi dia akan sama tak? Mungkin kita cuma dapat lihat pembaca berita pakai pakaian yang sopan sikit, dan TV akan dipenuhi dengan "drama tahun baru", tidak kurang juga penyanyi yang terkinja-kinja mendendangkan "lagu Maal Hijrah"...

Apapun, buatlah azam setinggi gunung, impian sedalam lesung pipit Preity Zintut, jadikanlah angka 1434 sebagai angka perubahan buat diri kita, bukan angka untuk tikam nombor ekor. Wallahu'alam.


sumber gambar: facebook.com/JanganCakapKL2012
pdf: http://veteranrtm.org/DoaAwalAkhir.pdf 

Saturday, November 10, 2012

baca

Assalamualaikum wbt

Membaca. Satu aktiviti yang melapangkan di waktu lapang, tapi ianya satu aktiviti membosankan bagi sesetengah orang (yang tak menghidap dyslexia). Mengapa? Mungkin sebab Malaysia tak ada salji (apa yang ditulis oleh Adi Alhadi), tapi kalau nak tunggu sampai Malaysia turun salji, alamatnya bila kiamat sampai lah baru orang kita nak membaca.

Sebenarnya, membaca itu penting. malah sangat lah penting. Ini kerana, membaca dapat mengukuhkan pengetahuan kita, dan dapat mejadikan kita seorang yang otak cair. Bila "otak cair", idea dan pandangan yang bernas akan dapat difikirkan dan seterusnya mulut akan dapat mengeluarkan butiran-butiran mutiara yang dapat membantu dalam pembangunan akhlak, sahsiah, ilmiah kepada masyarakat sejagat. 

Perkataan yang berbaur longkang juga tidak akan dihamburkan kerana selalunya orang-orang pandai akan bercakap perkara yang penting dan bukan yang bersifat pentingkan diri sendiri dan berkepentingan malah tak penting langsung. Contoh yang paling afdal ialah DJ radio yang melalut tak tentu arah dan bercakap macam orang berbisik di pagi-pagi celik.

Selain itu, melalui pembacaan yang berhemah dan berhikmah juga, situasi seperti salah menafsir ayat al-Quran juga dapat dielakkan malah tidak mungkin wujud di kalangan orang-orang besar, kerana orang-orang kecik tak tahu dan tak berani nak menafsir ayat-ayat al-Quran sebab takut salah. Itu sebabnya orang dulu "berani kerana benar, takur kerana salah", orang sekarang pula, "buat-buat berani kerana dah terang-terang salah sebab nak jaga muka". 

Cuba kita renungkan balik, masa kecik-kecik dulu mak/ayah atau cikgu ajar kita membaca, dari tak kenal binatang abc sampai dah boleh baca surat khabar. Walaupun perit, pantang silap sikit kena ulang balik. Kalau bab baca buku Iqra' tu lagilah. Huruf-huruf tu di balik-balikkan... nak terbelit lidah baca. Kalau yang buta pulak, diajarkan braille. Nikmat pula rasanya bila tahu membaca. 


Tapi saya pasti, kalau tak 100% pun, 70% tu ada, bahawa para penulis di weblog mesti terdiri di kalangan manusia yang rajin membaca. Kalau tak, masakan anda berharap orang membaca weblog anda sedangkan anda tidak rajin mambaca? kan? 

sakit mata

Assalamualaikum wbt

Dalam dunia ni, ada macam-macam benda yang boleh menyebabkan mata kita sakit. Walaupun mata kita tak ada mulut, tapi kita sedar akan kesakitan yang dirasai. Antara tanda-tanda sakit mata ialah mata akan berwarna merah dan berair, walaubagaimanapun menangis tidak termasuk dalam kategori sakit mata. 

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa faktor yang menyebabkan mata kita sakit. Ianya meliputi faktor perubatan dan sebaliknya. Tetapi saya tidak mahu membincangkan tentang aspek perubatan, nanti lain jadinya; jadi saya hanya akan menulis tentang non-medical aspects. :)

Budak muda yang berlagak tua dan orang tua yang berlagak muda merupakan salah satu sumbangan terbesar dalam penyakit mata ini. Jika lihat saja perangai dan penampilan mereka di khalayak ramai akan membuatkan manusia menggaru-garu mata dan kepala yang tidak gatal. 

Mana tidaknya, yang muda, umur baru setahun jagung dah tahu nak bercinta-cinta, berpeluk-pelukan mengalahkan ibu bapa mereka sendiri; manakala orang tua pula, iaitu golongan yang rumah dan anak-anak kata pergi, kubur kata jom, sentiasa dilihat memenuhi ruangan karaoke berbanding ruangan masjid. Itu baru perangai, belum lagi pemakaian mereka.

Bukan saja mata dan kepala yang gatal, silap hari bulan, malah boleh tercabut bebola mata melihat situasi zaman ni.

Selain itu, kita mestilah mejaga mata agar ia tidak terkena penyakit sebarangan, terutama penyakit tenung dan juling, sejenis penyakit mata yang parah dan merbahaya. Penyakit ini tidak mengenal laki-laki mahupun wanita, kedua-duanya berisiko untuk mendapat penyakit ni. Silap langkah, saya pun boleh terkena.

Malangnya cara untuk mengelakkan daripada terkena penyakit tenung dan juling ni tidak specific. Ianya bergantung kepada tahap kebergantungan seseorang individu terhadap daya tahan mata dan nafsunya; dan bergantung juga pada kitab yang dipegangnya..

Sebagai contoh, disebabkan anda lapar, anda tenung lama-lama kari kepala ikan yang sedap dan mencairkan air liur; daripada anda tenung kari tu sampai hangus, baik anda ambik pinggan dan duduk mencekik. Kerana jika anda tenung kari ikan tu lama-lama , nanti si tauke kedai akan ingat yang anda mempunyai niat untuk jadi kucing, sampai dia siat tapak tangan anda. Wallahu'alam. 

Thursday, November 01, 2012

masuk u

Zaman dulu, masyarakat amat memandang tinggi kepada anak-anak mereka yang dapat masuk u; dan selalunya orang-orang yang dapat masuk u ni, semuanya pandai-pandai dan hebat-hebat belaka. Mereka ni mesti pandu kereta besar, gaji pun tinggi-tinggi, setinggi kepala mereka yang bangga mendongak ke langit. Ni baru cerita pasal masuk u. Yang mencipta dan menubuhkan u ni, mesti lagi hebat dan bergeliga otak mereka kan? 

Tapi tu semua dulu. 

Masa dulu, tak semua orang boleh masuk u. Hanya orang yang bersifat kental dan mempunyai ciri-ciri yang berkualiti sahaja yang dapat masuk u. Sekarang ni, semua orang boleh masuk. Dan fungsi u pun dah berubah seperti wajah artis-artis. 

Kalau dulu orang pergi u nak belajar dan mengkaji pasal beruk, tapi sekarang u dah dipenuhi dengan manusia yang berperangai seperti beruk. Kalau dulu, orang pergi u nak menimba ilmu, sekarang ianya dijadikan tempat menimang anak.

Kalau kita lihat pelajar-pelajar u hari ni, kita akan berfikir 8 kali untuk memastikan samada orang tersebut adalah benar-benar seorang mahasiswa. Sebab, kita hanya akan melihat gaya budak hingusan yang suka bergelak ketawa, tidak tahu beratur, penakut tak tentu pasal, malas, dan sebagainya di dalam diri seorang pelajar universiti. Ini dilihat sendiri oleh mata kepala saya sehari-hari saya pergi ke kuliah. 

Bukan tu saja. Perangai anak-anak muda sekarang ni pun dah banyak berubah. Kalau mak ayah cakap sepatah, dia smash balik 10 patah. Kalau dulu, dah lama patah tulang belakang dia kena bedal. Entah di mana silapnya, budak sekarang ni memang kuat merajuk. Kalau yang pakai baju gambar Ben10 tu dimaafkan lagi, ini dah tua bangka pun nak merajuk lagi... Sensitif sungguh!

Selain tu, saya lihat (di tempat saya di mana lokasinya adalah rahsia...) mereka ni suka membuang masa. Sedangkan Allah dah bersumpah denagan masa, tapi kebanyakan orang Islam di negara kita (yang majoritinya orang Melayu) masih sangat suka membuang masa seperti membuang sampah di dalam bas pekan. Suka suki je. 

Ini mungkin disebabkan sifat mereka yang suka memberi ganjaran kepada diri sendiri. Pantang ada masa lapang, mereka-mereka ni pun akan bersatu hati berjoli ampai tak ingat dunia. Pantang cuti lama sikit, maka berpusu-pusu lah manusia nak balik ke kampung masing-masing. Tak salah untuk balik jumpa mak ayah, tapi bukankah duit tambang tu boleh guna buat beli buku? Cuba fikir, selain daripada buku-buku teks dan novel cinta low class serta komik pembangkit nafsu, berapa banyak buku ilmiah yang kita pernah beli? 

Entahlah. 

Janganlah kita ikut resam pagar, disuruh jaga malah dimakan pula padinya. Mak dengan ayah dengan penat lelah hantar kita untuk belajar dan menuntut ilmu, agar jadi orang yang berjaya. Pokek ayah kita dah ditebuk tikus menanggung perbelanjaan kita, mak pulak, dah bergelen air liur dan air mata memanjat doa untuk kejayaan anak-anaknya yang dapat masuk u, itu belum lagi campur air liur yang dihabiskan untuk menceritakan anak-anaknya yang manjadi kebanggan keluarga. Jadi janganlah kita khianati mereka. Biarpun mereka masih hidup atau dah pergi, sebising-bising mulut mereka, tetap mak ayah kita; semiskin mana pun mereka, tetap mak ayah kita jugak. 

Akhir kata, demi untuk memastikan kita masuk dan keluar dari u sebagai graduan yang berjasa pada agama dan bangsa, maka jalankanlah tanggungjawab kita dengan amanah. wallahu 'alam.